Lokasi : Padang Merdeka, Kota Bharu
Bank Kerapu adalah merupakan sebuah bangunan bersejarah yang terletak di sebelah hilir Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan. Pada tahun 1912, bangunan ini siap dibina dan mula digunakan sebagai bank oleh "The Mercatile Bank of India Ltd". Bangunan ini merupakan bank pertama yang dibuka di Kelantan.
Sejarah Bank Kerapu
Semasa Perang Dunia ke-II, pasukan polis rahsia Jepun telah menggunakan bangunan ini sebagai ibu pejabat mereka. Bangunan ini juga dijadikan penjara, tempat siasatan, tempat penderaaan dan lain-lain aktiviti keganasan mereka. Apabila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali memerintah negeri ini, bangunan ini digunakan semula sebagai bank. Pada tahun 1977, nama bank tersebut bertukar kepada "The Hong kong & Shanghai Banking Corporation", dan pada 1981 bangunan ini dijadikan pula sebagai Balai Seni Lukis dan Kraftangan Kelantan. Mulai tahun 1992, bangunan ini digunakan sebagai Memorial Perang Dunia Ke II di Kelantan.Bank Kerapu dibina di atas sebidang tanah milik seorang ketua tempatan yang bernama Nik Yusoff bin Nik Abdul Majid. Bangunan ini juga merupakan sebuah binaan bangunan pertama di Kelantan yang menggunakan batu. Masyarakat tempatan Kelantan lebih mengenali bangunan ini sebagai bangunan Bank Kerapu kerana sebahagian daripada permukaan bangunaan ini disimen dengan menggunakan batu-bata kecil yang menyebabkan permukaannya tidak rata dan menggerutu.
Bank Kerapu Kini
Bermula pada tahun 1992, bangunan ini digunakan sebagai memorial peringatan Perang Dunia II yang mana pendaratan tentera bermula di Tanah Melayu. Bangunan ini memiliki dan mempamerkan lebih daripada 1,000 bahan pameran yang berkaitan dengan peperangan yang terdiri dari gambar-gambar, artikel dan artifak. Pameran lain termasuk foto Sultan Ismail Petra sebagai Kolonel Kehormat Rejimen Artileri DiRaja Malaysia, sejarah hubungan Kelantan-Thai sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, dan kehidupan rakyat Britisih di Kelantan sebelum dan selepas perang. Basikal yang pernah digunakan oleh tentera Jepun semasa memasuki bandar Kota Bharu juga dipamerkan di sini.
TOKONG MEK TEMPLE
Lokasi : Kampung Cina
Tokong Buddha dikenali sebagai Tokong Mek Temple yang terletak di Kampung Cina, Jalan Pantai Cahaya Bulan. Tokong Mek Temple adalah antara tokong yang tertua di Asia. Telah dibina pada tahun 1787 dan menjadi kebanggaan penganut Buddha di Kampung Cina, Kelantan malah di Asia. Tokong ini telah mencecah usia 220 tahun.
MASJID MUHAMMADI KOTA BHARU
Lokasi : Kota Bharu
Masjid Muhammadi merupakan masjid yang terkenal di Malaysia secara amnya, dan secara khususnya di Kelantan. Ia merupakan Masjid Negeri dan terletak di Kota Bharu. Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhammad ke-IV yang sangat berjasa kepada Negeri Kelantan. Ia juga dipanggil sebagai "Masjid Besar" di kalangan sesetengah rakyat Kelantan.
Sejarah Masjid Muhammadi
Masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah".Peranan Masjid Muhammadi di dalam penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan amatlah istimewa. Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Taba (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933). Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini.Masjid ini mengalami kerja-kerja pengubahsuaian dan pembesaran pada tahun 1959, 1968, 1976 dan 1987. Luas keseluruhan masjid kini adalah 10,600 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,400 orang ahli jemaah.Pada asalnya masjid ini diberi nama sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1830 - 1886) dengan menggunakan kayu-kayu yang terpilih. Pengubahsuaian bangunan masjid daripada kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan pada tahun 1922 dan telah dirasmikan oleh oleh KDYMM Baginda Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931, dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi.