Pasti ramai yang tidak percaya, namun itulah hakikatnya yang berlaku di Stadium Selayang apabila Kelantan dimalukan 4-0 di tangan Sime Darby.
Selepas ketinggalan 1-0 seawal minit ke-6 hasil jaringan Mateo Roskom, The Red Warriors terus dihukum Sime Darby dengan tiga gol di babak kedua.
Roskom yang mencipta hatrik pada perlawanan tersebut turut menyumbang gol masing-masing pada minit ke-46 dan 69, manakala Mahmoud Amnah pula mencipta jaringan di minit ke-66.
Ia adalah kekalahan terburuk Kelantan dalam saingan Liga Super pada musim ini.
Sementara itu, Jahor Darul Takzim (JDT) pula terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pasukan tercorot liga, Perak 1-0. Jaringan Nazrin Nawi pada minit ke-16 menerusi rembatan deras memisahkan kedudukan dua pasukan tersebut.
Perak yang banyak menguasai perlawanan jelas buntu untuk memburu gol, biarpun kerap kali melakukan asakan berbahaya di kubu lawan.
Keperitan JDT untuk mengekang asakan Perak lebih parah apabila Amirulhadi Zainal dihalau keluar di minit ke-68 selepas menerima dua kad kuning. Bagaimanapun, ketahanan benteng JDT membawa pasukan itu untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 1-0.
Dalam aksi lain yang turut berlangsung hari ini menyaksikan Lions XII mengejutkan Pahang 4-1, Sarawak menewaskan ATM 3-2 manakala Terengganu terikat 2-2 dengan PKNS FC.