Pasti ramai tertanya-tanya, apakah yang berlaku kepada pasukan Kelantan, apabila aksi mereka pada musim ini dilihat tidak segah musim-musim lalu.
Selaku juara Piala Malaysia 2010 dan 2012, juara Piala Sumbangsih 2011, juara Liga Super 2011 serta 2012 dan Juara Piala FA 2012 serta 2013, pastinya ramai tertanya-tanya, apakah yang berlaku kepada pasukan gergasi Pantai Timur Kelantan, apabila melihat aksi mereka pada musim ini tidak segah musim-musim yang lalu.Jika tahun 2011, Kelantan berjaya mara ke peringkat suku akhir saingan Piala AFC, 2012 pula mereka berjaya melepasi pusingan ke dua, tahun ini lain ceritanya. Pasukan Kelantan gagal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan apabila beberapa keputusan kekalahan di catat berturut-turut oleh mereka.Ramai yang berpandangan bahawa di awal musim, Kelantan tampak goyah akibat perpindahan pemain dalam pasukan terutamanya tonggak-tonggak utama yang berhijrah, serta perubahan dari segi kejurulatihan, memberikan kesan yang paling mendalam buat mereka. Manakan tidaknya, untuk membentuk kembali keserasian sebagai satu pasukan, bukannya boleh dilakukan dengan begitu mudah.Pemain musim ini juga terpaksa menerima taktikal yang diterapkan oleh kejurulatihan yang baru. Steve Darby yang mengambil alih The Red Warriors untuk musim ini, dilihat lebih gemar untuk menerapkan taktikal 3-5-2 dimana ramai yang bertanggapan bahawa taktikal 3-5-2 yang sering diterapkan itu, antara punca kepincangan pasukan dan dikatakan taktikal tersebut sangat tidak sesuai untuk Kelantan.Di awal musim saingan Liga Super juga kita dapat lihat aksi kurang konsisten pasukan menyebabkan segelintir penyokong yang dahulunya setia menyaksikan perlawanan di stadium, kini tidak lagi. Semuanya atas rasa kekecewaan yang dirasai oleh mereka melihat kepada prestasi pasukan Kelantan musim ini.Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain The Red Warriors yang tidak pernah putus harapan untuk terus membantu pasukan, menaikkan kembali motivasi pasukan untuk menjadi antara pencabar yang perlu diberi perhatian.Buktinya, selepas pusingan pertama Liga Super, Kelantan kini berada di kelompok lima terbaik dalam liga dan masih mampu untuk terus mengekalkan kedudukan lima terbaik itu.Pastinya semua penyokong The Red Warriors mahu melihat perubahan positif ini dapat di kekalkan. Tentunya penyokong akan kembali membanjiri stadium jika titik positif yang mereka temui ini dapat di teruskan hingga ke akhir saingan Liga Malaysia 2014. Ayuh penyokong Kelantan, gemuruhkan sorakan, teruskan menyokong pemain kalian kerana berdiri megahnya sesebuah pasukan itu, ianya dari penyokong setia.