The Red Warriors (TRW) terpaksa melupakan kempen Piala AFC selepas tewas kepada Yangon United 3-2 dalam aksi kumpulan G.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mohammad ke-IV malam ini, Cesar Augusto menjaringkan gol pembukaan di minit ke-25 apabila dia dengan tenang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Jentera serangan TRW yang diketuai Mohammed Ghaddar dan Francis Doe kurang berkesan dan dilihat tertekan untuk menyamakan keduduakan. Ghaddar juga terpaksa dikeluarkan di pertengahan perlawanan akibat mengalami kecederaan.
Pada babak kedua, Kelantan beraksi lebih baik serta banyak menguasai perlawanan. Khairul Izwan muncul menjaringkan gol penyamaan di minit ke-50 selepas dia bijak memusingkan badan sebelum menyempurnakan gol.
Di minit ke-54, Wan Zaharulnizam menyemarakkan semangat pasukan Kelantan apabila usahanya yang mengelirukan beberapa pertahanan lawan membuahkan hasil menerusi rembatan deras.
Kegembiraan penyokong tuan rumah nyata musnah setelah Yangon menjaringkan gol penyamaan 2-2 menerusi Emerson Reis Luis pada minit ke-64, sebelum Kyaw Ko Ko melengkapkan kemenangan Yangon 3-2 di minit ke-80.
Kelantan yang hanya mengutip tiga mata selepas mengharungi lima perlawanan berada di kedudukan terbawah kumpulan G, sekaligus tersingkir dalam saingan Piala AFC 2014.