The Red Warriors adalah satu-satunya pasukan yang tidak tertewas dalam saingan Liga Super setakat ini dengan mendapat 6 mata dalam dua perlawanan.
Sebelum ini rata-rata pemerhati berpendapat pasukan dari Pantai Timur itu diramalkan menjadi antara skuad belasahan pada musim ini memandang kehilangan ramai pemain-pemain utama. Namun ramalan itu ternyata melesat apabila Kelantan bermula cemerlang dan terus mengekalkan prestasi yang baik seperti musim-musim yang lepas.
Biarpun separuh pemain-pemain mereka keluar berhijrah dengan kebanyakan mereka menandatangani kontrak dengan Johor Darul Takzim, ditambah pula turut berlaku pertukaran dalam kerusi jurulatih, bagaimanapun Kelantan tetap seperti pasukan Kelantan yang sama.
Selain Kelantan, kesemua pasukan termasuk pesaing hebat seperti Johor Darul Takzim (JDT), Selangor, Pahang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lions XII, Terengganu sudah merekodkan satu kemenangan dan tercalit dengan satu kekelahan, kecuali Sarawak yang masih belum mengumpul sebarang mata.
Sebelum musim bermula, JDT menjadi pasukan paling menonjol apabila menandatangani ramai pemain kebangsaan dan juga pemain import ternama dari luar negara, nyata turut menanggung aib, ketika tewas dengan T-Team Sabtu lalu.
Ya, masih terlalu awal untuk membuat apa-apa ramalan dan keputusan semasa itu belum cukup untuk mentafsirkan prestasi sebenar skuad terbabit, begitu juga Kelantan yang masih belum bertemu buku dan ruas.
Kini saingan Liga Super tertumpu kepada perlawanan ketiga yang dijadualkan hari ini dengan Selangor bertemu Pahang, JDT menentang Lions XII, Terengganu menentang PBDKT T-Team, ATM menentang Perak, Kelantan menentang PKNS FC dan Sarawak menentang Sime Darby.
Jika melihat kepada prestasi semasa Selangor ketika menentang Harimau Muda C dalam perlawanan Piala FA, skuad Merah Kuning nyata dalam situasi yang sukar untuk menerima kunjungan penyandang juara Piala Malaysia, Pahang.
Sebaliknya, JDT yang masih segar menewas Lions XII juga dalam Piala FA, mungkin tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk sekali lagi mengutip tiga mata menentang wakil dari Singapura itu, lebih-lebih lagi memiliki kelebihan bermain di gelanggang sendiri.
Manakala pertemuan dua pasukan dari negeri yang sama, Terengganu dan T-Team pasti sukar di ramal. Pun begitu T-Team sedikit mendapat tonik dan motivasi yang tinggi kerana sudah menewaskan pasukan yang lebih kuat iaitu JDT.
Biarpun Perak bukan menjadi pasukan pilihan dalam pertemua menentang ATM, namun skuad Seladang tidak boleh dipandang rendah musim ini. Daripada dua perlawanan Liga Super yang lalu dan juga perlawanan Piala FA, Perak mempamerkan permainan yang memberangsangkan.
Begitu juga Sarawak. Walaupun tewas 1-0 menentang Kelantan, skuad itu mempamerkan dominasi dan jentera serangan yang cukup berbahaya. Jadi, mereka bukanlah lawan yang mudah bagi kebanyakan pasukan termasuk Sime Darby yang bakal bertemu esok. Corak permainan yang ditunjukkan Sarawak jelas menunjukkan cita-cita yang tinggi mereka pada musim ini.
Akhir sekali juara Piala FA musim lalu, Kelantan akan menerima kunjungan Selangor PKNS FC di Kota Bharu. Sedia maklum Kota Bharu adalah stadium keramat untuk pasukan itu, jadi PKNS diramalkan bermain dalam sedikit tertekan.