Kelantan berjaya mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah 2-1 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Skuad The Red Warriors dilihat begitu buntu dan cemas sehinggalah gol kemenangan diraih di masa tambahan menerusi Shakir Ali.
Sebelum itu, Kelantan memperoleh gol pertama hasil pemain Shawky Yazid di minit ke-44, manakala gol tunggal Sabah dihasilkan Rosdin Wasli di minit ke-55.
Perlawanan begitu seimbang sejak wisel pertama dibunyikan dan Sabah jelas memberi tentangan sengit terhadap juara bertahan Piala FA itu.
Kelantan mengasak kubu lawan seawal minit ke-6 apabila Mohammed Ghaddar bijak menghantar bola kepada Zairol Fitri, bagaimanan hantaran Zairol ke depan gawang Sabah dipersia-siakan kerana tiada pemain bersedia untuk menyempurnkan jaringan.
Biarpun Shawky melepaskan sekurang-kurangnya dua peluang keemasan di awal perlawanan, namun pemain import dari Mesir itu berjaya menebus kekecewaanya di minit ke-44.
Dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol Sabah, dia muncul untuk melakukan sentuhan mudah dengan menggunakan kaki kanan.
Sebelum itu, diminit ke-12 dia melakukan rembatan jarak jauh yang menggegarkan palang gol. Dia yang nampak menyerlah dalam perlawanan ini sekali lagi melakukan percubaan bahaya di minit ke-27, namun rembatan derasnya kali ini terkena kaki penjaga gol lawan.
Bermula babak kedua, Kelantan terus mengatur asakan. Pun begitu, skuad Pantai Timur itu tersentak dengan jaringan penyamaan hasil Rosdin Wasli apabila dia melakukan sentuhan menggunakan tapak kaki di minit ke-55.
Walaupun sedikit tamak, Ghaddar antara pemain yang harus dipuji kerana gerakannya kerap kali membahayakan gawang lawan.
Usaha keras pemain itu dan juga rakan sepasukannya, Kelantan akhirnya berjaya mencuri jaringan kemenangan di minit ke-94 apabila Shakir Ali merembat deras ketika keadaan kelam kabut di depan gawang Sabah.
Jaringan itu sekaligus memusnahkan peluang dan hasrat Sabah yang dilihat berminat untuk bermain di masa tambahan 30 minit mahupun pentuan sepakan penalti.
Selain Kelantan, lima pasukan lain iaitu Sarawak, Kedah, PDRM, Selangor PKNS dan Felda United turut melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA selepas mencatat kemenangan pada perlawanan pusingan kedua hari ini.
Selangor PKNS menewaskan Terengganu 2-1, Kedah menewaskan Perlis 4-0, Polis menewaskan PBAPP FC 2-0 dan Felda United menewaskan Sime Darby 1-0.