Kelantan yang bermain dengan 9 pemain terpaksa akur dengan kekalahan 3-2 kepada Vissai Ninh Binh
The Red Warriors yang bermain dengan 9 pemain terpaksa akur dengan kekalahan 3-2 kepada Vissai Ninh Binh dalam Piala AFC yang berlangsung di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, Kota Bharu.
Kelantan yang turun dengan skuad kedua dilihat kerap mengasak kubu lawan di awal perlawanan, namun mereka dikejutkan dengan jaringan pelawat pada minit ke-23 menerusi rembatan Bryan Kevin.
Corak permainan Kelantan mula terjejas selepas Shakir Ali dilayangkan kad merah di minit ke-34 apabila dia menyepak pemain lawan ketika rebah diluar kotak penalti.
Biarpun beraksi dengan 10 pemain, Kelantan masih kerap mengasak. Usaha mereka akhirnya berhasil selepas Nazri Ahmad berjaya menyempurnakan sepakan percuma di minit ke-36.
Di minit ke-44, Wan Zaharulnizam terlepas peluang untuk menjaringkan gol ketika dia tidak dikawal di dalam kotak penalti.
Pun begitu, dia berjaya menebus kesilapan dengan melorongkan bola dengan baik untuk disempurnkan oleh Khairul Izwan di minit ke-45+2 untuk meletakkan kedudukan Kelantan 2-1.
Bersambung babak kedua, Khairul Izwan melakukan tindakan tidak wajar dengan menyepak kaki pemain lawan sehingga dia terpaksa dihalau keluar oleh pengadil perlawanan.
Kelantan yang terpaksa beraksi dengan 9 pemain dilihat tidak mampu membuat apa-apa. Bryan Kevin sekali lagi muncul melakukan jaringan kedua Vissai di minit ke49, sebelum Voinea Petrisor merembat deras di minit ke-66.
Sebelum itu, Steve Darby terpaksa memasukkan Mohamed Shawky dan Badhri Radzi yang sepatutnya berehat untuk menghadapi saingan Liga Super. Shawky menggantikan Faizol Nazlin manakala Badhri menggantikan Wan Zaharulnizam.
Namun kemasukan dua tonggak berkenaan tidak mampu meningkatkan mutu permainan Kelantan yang bermain dengan 9 pemain. Keputusan 3-2 berpihak kepada Vissai Ninh Binh.