Corak permainan The Red Warriors (TRW) dilihat kembali diterima penyokong skuad itu selepas mendapat sentuhan jurulatih baharu George Boateng.
Mungkin terlalu awal untuk menilai kemampuan Boateng mengembalikan kecemerlangan TRW, namun gaya permainan menyerang dipraktikkannya menampakkan hasil ketika mereka menewaskan PKNS FC 2-0 di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Ia kemenangan pertama jurulatih dari Belanda yang baru dilantik selepas sekadar seri 3-3 menentang Felda United pada separuh akhir pertama Piala FA sebelum ini.
Dalam laporan Harian Metro, Boateng berkata walaupun masih ada ruang yang perlu diperbaiki, namun beliau merasakan pemain sudah mampu menerima corak latihannya, malah jentera serangan sudah mula berfungsi dengan baik, sementara bahagian tengah dan pertahanan juga mula melengkapi antara satu sama lain.
Mengulas mengenai perlawanan menentang PKNS, Boateng berkata:"Memang bagus buat kami menamatkan perlawanan tanpa melepaskan sebarang gol seperti tiga gol sebelum ini. Pasukan bertahan lebih baik kali ini,” katanya.
"Walaupun menang, ia bukan perlawanan yang mudah. Kami bermain dengan sangat baik pada separuh masa pertama dan seharusnya menjaringkan lebih banyak gol namun babak kedua kami kurang mencipta peluang kerana hujan dan ia mengganggu rentak permainan," katanya dalam akhbar harian itu.
Pada perlawanan itu, TRW meraih jaringan menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit pertama sebelum Francis Forkey Doe melengkapkan kemenangan pada minit ke-87.
TRW kini berada di kedudukan keenam Liga Super selepas mengumpul 22 mata dalam 15 perlawanan.