Hafiz Kamal menjadi wira pasukan Pahang dengan gol kemenangan pada masa kecederaan perlawanan yang berakhir dengan keputusan 3-2 menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Darul Makmur.
Penguasaan besar pasukan Pahang pada separuh masa pertama tidak mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil. Matias Conti tidak mensia-siakan peluangnya pada minit ke-13 untuk memberi gol pendahuluan yang berpunca daripada hanataran cantik Hafiz Kamal dan kesilapan pertahanan JDT.
Pasukan Tok Gajah hampir menggandakan jaringan pada minit ke-21 dengan tandukan Fauzi Roslan yang menuju kearah gawang gol tetapi dihalang palang. R. Gopinathan telah mencipta peluang itu dengan hantaran lintang selepas melepasi Mahali Jasuli dengan mudah.
Gopi juga hampir memberi gol kedua untuk Pahang tetapi pencubaannya dari luar kotak penalti itu ditepis keluar oleh penjaga gol JDT, Norazlan Razali.
Pasukan JDT lebih mengancam lewat pada separuh masa pertama berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan hasil daripada kebijaksanaan pemain impot bertaraf dunia, Pablo Aimar. Hantaran kemas Amri Yahya dari bahagian kanan padang dilencongkan terus ke gawang gol dengan tenang oleh Aimar sekaligus memberi nafas baru kepada pasukan pelawat.
Walaubagaimanapun, pasukan tuan rumah yang telah memulakan babak kedua dengan rancak dan kecelaruan di kotak penalti JDT membenarkan Fauzi menjaring gol kedua Pahang pada minit ke-47.
Pemain gantian JDT, Safee Sali menunjukan yang dia masih mempunyai berbisa dengan satu larian hebat melepasi beberapa pemain pertahanan Pahang tetapi percubaan penyerang kebangsaan itu berjaya dihalang penjaga gol Pahang, Khairul Azhan.
Tetapi Safee lebih tajam dengan peluang keduanya, apabila berjaya menanduk masuk gol kedua JDT yang terhasil dari sepakan percuma Shafiq Rahim.
Perlawanan hebat seakan perlawanan akhir ini menyaksikan beberapa adegan kekasaran dari kedua-dua pihak, terutamanya dari pertahanan Pahang, Damian Stewart dan penyerang JDT, Luciano Figueroa.
Hafiz Kamal yang telah menghadiahkan sepakan percuma yang menjadi punca gol kedua JDT, membalas kesilapannya dengan gol kemenangan yang tercipta pada minit terakhir masa penuh. Sepakan percuma Azidan ke kawasan penalti di tanduk Hafiz ke gawang gol selepas berjaya melepasi pengawasan Amri Yahya.
Kemenangan ini memberi Pahang 6 mata dari 4 perlawanan di carta Liga Super 2014 dan JDT terpaksa kekal dengan 4 mata.