Nasib tidak menyebelahi pasukan Malaysia apabila cubaan demi cubaan yang dilakukan tidak membuahkan hasil dalam keputusan seri 0-0 dengan Filipina di Stadium Selayang.
Pasukan Filipina membuat percubaan yang pertama dalam perlawanan pada minit ke-8 dengan sepakan Phil Younghusband yang tidak menepati sasaran.
Percubaan itu merupakan satu-satunya peluang pasukan pelawat yang hampir membuahkan hasil pada separuh masa pertama dan bakinya dikuasai oleh pasukan Malaysia.
Pemain pertahanan Amiridzwan Taj, memulakan siri percubaan pasukan tuan rumah dengan tandukan yang kemas dan juga berjaya memasukkan bola ke dalam gawang gol. Tetapi pengadil perlawanan telah melakukan kesilapan dengan membatalkan gol tersebut kerana melalui pandangannya, Amiridzwan menggunakan tangan.
Nasib Malaysia berterusan apabila tiga percubaan selepas itu dari Aidil Zafuan, Safiq Rahim dan Amri Yahyah dihalang tiang gol. Kedua-dua percubaan dari Aidil dan Safiq merupakan tandukan dari spakan penjuru dan juga hantaran lintang.
Amri pula mempunyai peluang dan ruang yang selesa untuk menjaringkan gol, tetapi Amri juga terkejut apabila sepakannya terpantul keluar dari tiang gol.
Perlawanan juga dihentikan pada minit ke-30 untuk lebih kurang sepuluh minit, apabila penyokong pasukan Malaysia menyalakan 'flare' dan asap tebal mengganggu pemain beraksi.
Babak kedua juga dipenuhi dengan peluang-peluang yang hampir membuahkan hasil dari pasukan kebangsaan dan satu percubaan dari pemain Filipina, Younghusband pada minit ke-61.
Malaysia pula memulakan serangan pada minit ke-50, tetapi percubaan Bobby Gonzales tepat pada penjaga gol Filipina.
S. Kunalan pula hampir menepati hantaran lintang yang rendah dari Amri Yahyah tetapi hantaran itu terlalu laju untuk Kunalan, yang masih mencari gol pertamanya untuk pasukan kebangsaan.
Safee Sali pula bijak mencari ruang beberapa kali tetapi tidak begitu tajam dalam percubaannya ke arah gol. Pada minit ke-75, sepakannya dari luar kotak penalti melepasi palang gol.
Skil individu yang baik dari Mahali Jasuli hampir menjanjikan gol tunggal yang cantik dalam perlawanan ini tetapi cubaannya hanya mampu menepati jaring dari luar gawang.
Minit ke-88 menyaksikan Baddrol Bakhtiar membuat percubaan yang berkualiti, tetapi penjaga gol Filipina sekali lagi bertindak dengan bijak untuk menepis bola keluar.
Nasib Malaysia berterusan sehingga minit terakhir dan keputusan seri adalah yang ketiga berturut-turut dalam tiga pertemuan terakhir diantara kedua-dua pasukan Asia Tenggara ini.